Kereta Volkswogen milik Andrew berhenti, dan beberapa orang pengawal mendekatinya. Dia berdoa seperti yang dilakukannya berkali-kali pada masa lalu: “Tuhan, ketika Engkau berada di bumi, Engkau menjadikan orang buta melihat. Kini, sila butakan mata yang melihat.” Pengawal menggeledah keretanya, dan tidak jumpa Alkitab dalam bagasinya. Kemudian Andrew menyeberangi sempadan dengan mengedarkan Alkitab kepada mereka yang tidak boleh memilikinya.
Andrew van der Bijl, atau saudara Andrew, bergantung pada kuasa Tuhan untuk tugas yang seolah-olah mustahil. Tuhan telah memanggil dia membawa Alkitab ke negara-negara yang mengharamkan agama Kristian. “Saya lelaki biasa,” katanya, menekankan pendidikannya yang terhad dan kekurangan dana. “Apa-apa yang saya lakukan, sesiapa pun boleh lakukan.” Hari ini, organisasinya, Open Doors International, melayani orang Kristian yang teraniaya di seluruh dunia.
Semasa gabenor tanah Yehuda, Zerubabel menghadapi tugas yang seolah-olah mustahil untuk membina semula Rumah Tuhan selepas orang Yahudi kembali daripada pembuangan, dia juga berasa tawar hati. Namun, Tuhan mengingatkan dia supaya jangan bergantung pada kegagahan dan kekuatan manusia, tetapi roh kudus-Nya (Zakharia 4:6). Tuhan menggalakkan dia melalui visi yang diberi kepada Zakharia tentang pelita yang dibekalkan dengan minyak dari pokok zaitun yang berdekatan (ayat 2-3). Seperti pelita yang menyala kerana bekalan minyak yang berterusan, Zerubabel dan orang Israel boleh melakukan tugas Tuhan dengan bergantung pada bekalan kuasa-Nya yang berterusan.
Apabila kita bergantung pada Tuhan, semoga kita mempercayai-Nya dan melakukan apa yang Dia suruh kita lakukan.