Kejadian ini berlaku pada Jun 2016, ketika hari jadi rasmi Ratu Elizabeth yang ke-90. Dari kereta kudanya, Ratu melambai kepada orang ramai, lalu di hadapan ada barisan panjang askar dengan kot merah, berdiri tegak tanpa gentar. Cuaca di England pada hari itu sangat panas, manakala para pengawal pula berpakaian seluar bulu gelap tradisional, jaket bulu berbutang di dagu, dan topi besar yang dibuat daripada bulu beruang. Semasa para askar berbaris di bawah matahari, seorang pengawal mula pengsan. Yang hebatnya, dia mengekalkan kawalan badannya dan rebah ke hadapan, tetapi badannya kekal tegak seperti papan semasa dia membenamkan mukanya ke atas kerikil pasir. Di sana dia terbaring —masih dalam keadaan lurus dan tegak.
Pengawal diraja ini mengambil masa bertahun-tahun dalam latihan dan disiplin untuk belajar mempunyai kawalan diri sedemikian, menahan tubuhnya dalam posisi walaupun dia jatuh pengsan. Rasul Paulus menerangkan latihan sedemikian: “Aku bersungguh-sungguh melatih tubuhku, untuk menguasai diri” (1 Korintus 9:27). Paulus memahami “setiap ahli sukan yang bertanding … berlatih dengan gigih” (ayat 25).
Walaupun rahmat Tuhan (bukan usaha kita) menyokong semua yang kita lakukan, kehidupan rohani kita memerlukan disiplin yang ketat. Semasa Tuhan membantu kita mendisiplinkan fikiran, hati, dan tubuh kita, kita belajar untuk mengekalkan tumpuan kita kepada-Nya, walaupun di tengah-tengah ujian atau gangguan.