Pada tahun 1921, artis Sam Rodia memulakan pembinaan Menara Watts. Tiga puluh tiga tahun kemudian, tujuh belas buah arca setinggi tiga puluh meter di Los Angeles didirikan. Namun pemuzik Jerry Garcia meremehkan karya Rodia. “Itulah ganjarannya,” kata Garcia. “Benda yang hanya akan wujud selepas kamu mati.” Kemudian dia berkata, “Saya sama sekali tidak minat dengan semua itu.”
Jadi apakah ganjaran untuknya? Rakan kumpulannya Bob Weir merumuskan falsafah mereka: “Dalam keabadian, tiada sesiapa akan mengingati anda. Jadi kenapa tidak berseronok sahaja?”
Seorang lelaki yang kaya dan bijak juga pernah cuba mencari “ganjaran” dengan melakukan segala yang mungkin. Dia menyatakan, “Aku berkata dalam hatiku: ‘Mari, aku mengujimu dengan keseronokan’ ” (Pengkhutbah 2:1). Tetapi dia menyatakan, “Tidak seorang pun ingat akan orang bijak, ataupun orang bodoh” (ayat 16, TMV). Dia menyimpulkan, “Kerja yang kubuat di bawah matahari perkara yang teruk kepadaku” (ayat 17).
Kehidupan dan mesej Yesus secara radikal menentang kehidupan yang tidak berpandangan jauh. Yesus datang untuk memberi kita “kehidupan yang berlimpah-limpah” (Yohanes 10:10) dan mengajar kita menjalani kehidupan ini dengan pandangan abadi. “Jangan kumpulkan harta di dunia,” katanya. Tetapi “kumpulkan harta di syurga” (Matius 6:19-20). Kemudian Dia menyimpulkan: “Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu” (ayat 33).
Itulah ganjarannya, yang begitu berbeza di bawah matahari dan di “atas” matahari.