Gereja Holy Cross merupakan sebuah gereja kecil yang menjulang tinggi di antara pergunungan merah Sedona di Arizona, Amerika. Semasa saya memasuki gereja itu, serta-merta saya tertarik dengan arca Yesus pada salib yang tidak biasa di situ. Arca Yesus itu tersalib pada dahan-dahan pokok yang mempunyai dua batang, bukannya seperti salib tradisional. Secara mendatar, batang yang terputus dan mati melambangkan suku kaum Israel dalam Perjanjian Lama yang menolak Tuhan. Manakala, batang yang satu lagi tumbuh ke atas dan bercabang melambangkan suku Yehuda yang berkembang pesat dan garis keturunan Raja Daud.

Karya seni yang mempunyai makna simbolik itu menunjukkan nubuat penting dalam Perjanjian Lama mengenai Yesus. Walaupun suku Yehuda hidup dalam tawanan, nabi Yeremia menyampaikan mesej Tuhan yang penuh harapan: “Aku akan menepati janji yang baik yang telah Kufirmankan” (Yeremia 33:14) untuk menyediakan seorang penyelamat yang akan “menegakkan keadilan dan perbenaran di negeri” (ayat 15). Salah satu cara bahawa orang ramai akan mengetahui identiti penyelamat ialah Dia akan “menumbuhkan Tunas yang benar bagi Daud” (ayat 15), yang bermaksud penyelamat itu ialah keturunan fizikal Raja Daud.

Arca itu dengan indahnya menggambarkan kebenaran penting bahawa dalam butiran garis keturunan keluarga Yesus, Tuhan setia untuk melakukan semua yang dijanjikan-Nya. Lebih-lebih lagi, ini ialah peringatan bahawa kesetiaan-Nya pada masa lalu memberi jaminan kepada kita, bahawa Dia akan setia memenuhi janji-Nya kepada kita pada masa hadapan.