Ketika memeriksa penerbangan dari Charlotte, Carolina Utara, ke New York, seorang pramugara melihat seorang penumpang kelihatan cemas dan bimbang akan penerbangan. Maka dia duduk di lorong pesawat, memegang tangannya, menjelaskan setiap langkah proses penerbangan, dan meyakinkannya bahawa dia akan baik-baik sahaja. “Apabila anda menaiki pesawat, kami akan memerhatikan keperluan anda,” katanya. “Jika anda berasa tidak selesa, saya berharap boleh menemani anda dan bertanya, ‘Hai, semuanya ok? Ada apa yang boleh saya bantu?’ ” Kehadiran pramugara yang penuh prihatin itu boleh menjadi gambaran tentang apa yang dikatakan tentang Yesus, berkaitan apa yang akan dilakukan oleh Roh Kudus untuk orang yang percaya kepada Yesus.
Kematian dan kebangkitan serta kenaikan Kristus ke syurga adalah sangat perlu dan bermanfaat untuk menyelamatkan orang daripada dosa mereka, tetapi ia juga akan mewujudkan pergolakan emosi dan kesedihan yang mendalam dalam hati para murid (Yohanes 14:1). Jadi Yesus meyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan dibiarkan bersendirian untuk melaksanakan misi-Nya di dunia. Dia akan mengurniakan Roh Kudus untuk menyertai mereka—“Penolong yang akan menyertai [mereka] selama-lamanya” (ayat 16). Roh Kudus akan bersaksi demi nama Yesus dan mengingatkan kita tentang segala yang dikatakan dan dilakukan-Nya (ayat 26). Para murid Yesus “diberi kekuatan” oleh Roh Kudus pada masa yang susah (Kisah Para Rasul 9:31).
Dalam kehidupan ini, setiap orang—termasuk orang percaya dalam Kristus—akan mengalami kegelisahan, ketakutan dan kesedihan. Tetapi Yesus berjanji bahawa selepas Dia naik ke syurga, Roh Kudus hadir untuk menghiburkan hati kita.