Seorang ahli meteorologi di Mississippi menjadi tular kerana dia mengucapkan kata-kata yang ringkas namun mendalam semasa ramalan cuaca pada 24 Mac 2023. Masa itu Matt Laubhan sedang menjejaki ribut yang teruk apabila dia menyedari puting beliung yang dahsyat akan melanda bandar Amory. Ketika itulah Laubhan berhenti seketika di TV secara langsung untuk mengucapkan doa yang didengari di seluruh dunia: “Ya Yesus, tolonglah mereka. Amin.” Beberapa penonton kemudian berkata bahawa doa tersebut mengingatkan mereka untuk mencari tempat perlindungan. Doanya yang spontan dan tulus ikhlas mungkin telah menyelamatkan banyak nyawa.
Doa kita juga boleh membawa perubahan. Doa tidak perlu berpanjang lebar. Doa kita boleh pendek, serta boleh diucapkan pada bila-bila masa. Sama ada kita berada di tempat kerja, menjalankan tugas harian atau bercuti, kita boleh “berdoalah sepanjang masa” (1 Tesalonika 5:17).
Tuhan suka mendengar kita berdoa sepanjang hari. Rasul Paulus mengingatkan kita bahawa kita tidak perlu menjadi tawanan kebimbangan atau ketakutan, tetapi kita boleh menyerahkan semua perhatian dan kebimbangan kita kepada Tuhan: “Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus” (Filipi 4:6-7).
Sama ada kita sedang menikmati hari yang cerah atau dilanda “ribut” kehidupan, marilah kita ingat untuk berhenti seketika dan berdoa sepanjang masa.