Dalam majlis makan malam Krismas yang diadakan di gereja kami untuk meraikan budaya para tetamu antarabangsa, saya bertepuk tangan dengan riang mengikut rentak bunyi darbuka (sejenis gendang) dan oud (alat muzik seperti gitar) semasa sebuah pancaragam memainkan karol tradisional dari Timur Tengah, iaitu “Laylat Al-Milad.” Penyanyi pancaragam itu menjelaskan bahawa tajuk karol itu bermaksud “Malam Kelahiran Yesus.” Liriknya mengingatkan para pendengar bahawa semangat Krismas ditemukan ketika melayani orang lain, melalui cara seperti menawarkan air kepada orang yang dahaga atau menghiburkan seseorang yang sedang bersedih.

Karol ini mungkin ialah ilham daripada ibarat yang disampaikan Yesus. Dalam ibarat-Nya itu, Yesus memuji para pengikut-Nya atas perbuatan mereka untuk-Nya: memberi-Nya makanan ketika Dia lapar, minuman ketika Dia dahaga, dan menjadi teman serta mengambil berat terhadap-Nya ketika Dia sakit dan sendirian (Matius 25:34-36). Para pengikut itu bukan semata-mata menerima pujian Yesus, bahkan terkejut—memikirkan mereka sebenarnya tidak melakukan perkara ini untuk Kristus. Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku” (ayat 40).

Pada musim Krismas, kita selalu digesa untuk memperlihatkan sikap meriah ketika menyambut hari perayaan ini, barulah kita dianggap memiliki semangat Krismas. Namun “Laylat Al-Milad” mengingatkan kita bahawa kita boleh memiliki semangat Krismas yang sebenar dengan mengambil berat terhadap orang lain. Yang menakjubkan, apabila kita berbuat demikian, kita bukan sahaja melayani orang lain, tetapi melayani Yesus juga.