Stanley suka akan kebebasan dan fleksibiliti yang diberikan oleh pekerjaannya sebagai pemandu sewa persendirian. Antara lain, dia boleh mula dan berhenti kerja pada bila-bila masa, dan dia tidak perlu bertanggungjawab kepada sesiapa tentang masa dan pergerakannya. Bagaimanapun, dia berkata bahawa itulah ironinya yang paling sukar.
“Dalam pekerjaan ini, sangat mudah tergoda untuk berlaku curang,” dia mengaku terus terang. “Aku mengambil pelbagai jenis penumpang, namun tiada sesiapa termasuk isteriku, tahu di mana aku pergi atau berada setiap hari.” Tidak mudah untuk melawan godaan ini, dan ramai rakan pemandunya telah terjerumus, jelasnya. “Aku melawan godaan itu kerana ingat akan Tuhan, dan memikirkan perasaan isteriku,” katanya.
Tuhan yang menciptakan setiap kita, mengetahui kelemahan, keinginan, dan betapa mudahnya kita tergoda. Akan tetapi, seperti yang dikatakan dalam 1 Korintus 10:11-13, kita boleh memohon pertolongan-Nya. “Allah setia menepati janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai melebihi kekuatanmu,” kata Paulus. “Sewaktu kamu dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya” (ayat 13). “Jalan keluar” itu mungkin berupa perasaan takut terhadap akibat perbuatan itu, rasa bersalah, ingat tentang firman Tuhan, gangguan yang berlaku tepat pada masanya sehingga kita terhindar daripada melakukan dosa, atau sesuatu yang lain. Apabila kita meminta kekuatan daripada Tuhan, Roh Kudus akan mengalihkan mata kita daripada apa yang menggoda kita dan menolong kita melihat ke arah jalan keluar yang diberikan-Nya kepada kita.