Baheer dan Medet membesar bersama-sama di Asia Tengah dan mereka merupakan sahabat karib. Namun, apabila Baheer percaya kepada Yesus, semuanya berubah. Selepas Medet melaporkan Baheer kepada pihak berkuasa, dia mengalami penyeksaan yang teruk. Pengawal penjara menjerit kegeraman, “Mulut kau ni tidak akan menyebut nama Yesus lagi!” Walaupun berlumuran darah dengan parahnya, Baheer sempat mengatakan bahawa mereka mungkin menghalangnya bercakap tentang Kristus, tetapi mereka tidak dapat “mengubah apa yang telah dilakukan Kristus dalam hatiku.”
Kata-kata itu tersemat dalam hati Medet. Beberapa bulan kemudian, setelah ditimpa penyakit dan kehilangan, Medet pergi mencari Baheer yang telah dibebaskan dari penjara. Medet tidak lagi bersikap sombong, sebaliknya dia meminta Baheer untuk memperkenalkan Yesus kepadanya.
Medet bertindak atas pimpinan Roh Kudus sebagaimana orang yang “berasa tertusuk” pada Hari Pentakosta, apabila mereka berkumpul bersama Petrus, menyaksikan rahmat Tuhan dicurahkan dan mendengar Petrus bersaksi tentang Kristus (Kisah Para Rasul 2:37). Petrus menggesa orang ramai untuk bertaubat dan dibaptis atas nama Yesus, dan kira-kira tiga ribu orang berbuat demikian pada hari itu. Sebagaimana mereka meninggalkan cara hidup lama mereka, begitu juga Medet bertaubat dan mengikut Yesus.
Rahmat hidup baharu dalam Yesus tersedia bagi setiap orang yang percaya kepada-Nya. Apa sahaja yang telah kita lakukan, kita boleh menikmati pengampunan dosa apabila kita percaya kepada-Nya.