Seorang guru sekolah di Indiana menyarani para pelajarnya untuk menulis nota galakan dan inspirasi kepada rakan sebaya mereka. Beberapa hari kemudian, apabila satu tragedi sekolah berlaku di bahagian lain di negara itu, nota-nota mereka membangkitkan semangat sesama pelajar ketika mereka menangani ketakutan dan kesakitan bahawa sesuatu yang buruk mungkin berlaku kepada mereka juga.

Galakan dan keprihatinan bersama juga ada pada fikiran Paulus semasa dia menulis kepada orang percaya di Tesalonika. Mereka telah kehilangan kawan, dan Paulus memberitahu mereka untuk berharap pada kedatangan Yesus yang dijanjikan untuk menghidupkan orang kesayangan mereka semula (1 Tesalonika 4:14). Walaupun mereka tidak mengetahui bila perkara itu akan berlaku, Paulus memperingatkan mereka bahawa sebagai orang percaya, mereka tidak perlu menunggu dalam ketakutan akan penghakiman Tuhan apabila Dia kembali (5:9). Sebaliknya, mereka boleh menunggu dengan yakin tentang hidup masa depan mereka bersama-Nya, sementara itu “saling menggalakkan dan meneguhkan” (ayat 11).

Apabila kita mengalami kehilangan yang menyakitkan atau tragedi yang tidak masuk akal, kita mudah dikuasai oleh ketakutan dan kesedihan. Namun demikian, kata-kata Paulus bermanfaat kepada kita pada hari ini, sebagaimana ketika kata-kata tersebut ditulis. Marilah kita menunggu dengan penuh harapan bahawa Kristus akan memulihkan segala-galanya. Sementara itu, kita boleh saling menggalakkan melalui nota bertulis, kata yang diucapkan, menghulurkan bantuan atau pelukan yang ikhlas.