“Aku perlu melaporkan kes kecemasan. Juruterbangku telah meninggal dunia.” Doug White dengan gementar mengucapkan kata-kata itu kepada pihak menara kawalan yang memantau penerbangannya. Beberapa minit setelah berlepas, juruterbang pesawat persendirian yang disewa oleh keluarga Doug tiba-tiba meninggal dunia. Maka Doug dengan segera melangkah ke kokpit untuk menerbangkan pesawat yang kurang canggih, walaupun hanya melakukan latihan penerbangan selama tiga bulan. Dengan cermat dia mendengar arahan daripada pengawal lalu lintas udara di lapangan terbang tempatan yang membimbingnya untuk mendaratkan pesawat. Kemudian, Doug berkata, “[Mereka] menyelamatkan keluargaku daripada maut ngeri akibat nahas pesawat yang hampir-hampir berlaku.”
Kita memiliki Yesus yang menolong kita untuk mengemudikan cabaran dalam hidup. Musa berkata kepada orang Israel, “TUHAN, Allahmu, akan membangkitkan untukmu seorang nabi sepertiku daripada kalangan saudaramu. Dialah yang harus kamu dengar” (Ulangan 18:15). Janji ini bukan sahaja merujuk kepada nabi demi nabi yang disediakan Tuhan untuk umat-Nya, tetapi juga merujuk kepada Mesias. Petrus dan Stefanus kemudiannya juga menyatakan bahawa nabi yang terutama ini ialah Yesus (Kisah Para Rasul 3:19-22; 7:37, 51-56). Dia sendiri datang kepada kita untuk menyampaikan perintah Tuhan yang penuh kasih dan hikmat (Ulangan 18:18).
Semasa hayat Kristus, Allah Bapa berfirman, “Inilah Anak-Ku … Dengarlah kata-kata-Nya!” (Markus 9:7). Untuk hidup dengan bijak dan terselamat daripada nahas kehidupan, dengarlah apa yang dikatakan Yesus melalui Alkitab dan Roh Kudus. Mendengar dan mentaati-Nya akan membawa perbezaan yang nyata dalam kehidupan kita.