Ketika saya duduk di sebelah rakan saya Margaret yang terbaring di katil hospital, saya memerhatikan kesibukan dan aktiviti pesakit lain, kakitangan perubatan serta para pelawat. Seorang wanita muda yang duduk dekat dengan ibunya yang sakit bertanya kepada Margaret, “Siapakah semua orang yang terus-menerus menziarahi puan?” Margaret menjawab, “Mereka ialah anggota gerejaku!” Wanita muda itu berkata bahawa dia tidak pernah melihat perkara seperti itu; dia berasa seolah-olah pelawat yang ramai itu “seperti kasih nyata dicurahkan.” Margaret menjawab sambil bersenyum, “Semua ini berasal daripada kasih yang kami beroleh daripada Tuhan, melalui Anak-Nya, Yesus Kristus!”

Jawapan Margaret itu menyamai kata-kata rasul Yohanes, yang pada akhir hayatnya telah menulis tiga pucuk surat tentang kasih, dengan semangat yang membara. Dalam surat pertamanya dia berkata, “Allah itu kasih. Sesiapa yang sentiasa mengasihi sesama manusia tetap ada di dalam Allah, dan Allah tetap di dalam dia” (1 Yohanes 4:16). Ini bermaksud bahawa bagi mereka yang mengakui “Yesus itu Anak Allah” (ayat 15), Tuhan tetap tinggal di dalam mereka melalui “Roh-Nya” (ayat 13). Bagaimanakah kita dapat mengambil berat terhadap orang lain dengan penuh kasih? “Kita mengasihi sesama manusia kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita” (ayat 19).

Disebabkan rahmat dan kasih Tuhan, saya atau orang lain di gereja kami tidak menganggap ini sesuatu yang membebankan untuk menziarahi Margaret. Saya menerima lebih daripada apa yang saya berikan, bukan sahaja daripada Margaret, tetapi melalui kesaksiannya yang lembut mengenai Penyelamatnya, Yesus. Bagaimanakah Tuhan dapat mengasihi orang lain melalui anda pada hari ini?