Gregory dari Nazianzus dan Basil dari Kaisarea merupakan pemimpin masyhur dalam jemaah pada abad ke-4 dan mereka ialah sahabat karib. Mereka mula-mula berkenalan sebagai pelajar falsafah, dan Gregory kemudian berkata bahawa mereka menjadi seperti “dua tubuh satu jiwa.”

Dengan laluan kerjaya yang begitu serupa, persaingan mungkin timbul antara Gregory dan Basil. Akan tetapi, Gregory menjelaskan bahawa mereka menghindari godaan ini dengan menjalani hidup yang penuh iman, harapan dan melakukan hal-hal yang baik sebagai “cita-cita tunggal” mereka, kemudian “saling perhatikan satu sama lain” supaya sahabat seorang lagi lebih berjaya dalam mencapai matlamat ini daripada diri mereka secara perseorangan. Hasilnya, kedua-dua mereka bertumbuh dalam iman dan menerajui pucuk pimpinan yang tinggi tanpa persaingan.

Kitab Ibrani ditulis untuk membantu kita agar tetap teguh dalam iman (Ibrani 2:1), mendorong kita berfokus pada “pengakuan harapan kita tanpa berganjak” dan “saling perhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan baik” (10:23-24). Walaupun ajaran ini diberikan kepada jemaah (ayat 25), Gregory dan Basil mengaplikasikannya dalam persahabatan mereka, dan menunjukkan bagaimana sahabat dapat menggalakkan satu sama lain untuk bertumbuh dalam iman dan mengelakkan sebarang “akar kepahitan”, seperti persaingan yang mungkin timbul antara mereka (12:15).

Bagaimanakah jika kita menjadikan iman, harapan dan melakukan hal-hal yang baik sebagai cita-cita dalam persahabatan kita sendiri, kemudian mendorong sahabat handai kita menjadi lebih berjaya dalam mencapai matlamat ini daripada diri kita secara perseorangan? Roh Kudus sentiasa menolong kita untuk menjaga persahabatan dan iman bersama-sama.