Saya dan suami sentiasa suka menghadiri kebaktian Malam Krismas di gereja kami. Pada tahun-tahun awal perkahwinan kami, kami mempunyai tradisi istimewa dengan mengenakan baju sejuk selepas kebaktian untuk mendaki bukit berhampiran. Di puncak bukit terdapat rangkaian 350 biji lampu bercahaya dalam bentuk bintang yang bergantungan pada tiang tinggi. Di situ—selalunya dalam keadaan bersalji—kami akan membisikkan refleksi kami tentang kelahiran Yesus yang ajaib sambil memandang jauh ke bandar di bawah bukit. Pada masa yang sama, ramai orang di bandar tersebut pula memandang ke arah bintang rangkaian lampu yang terang bercahaya dari lembah di bawah.

Bintang itu merupakan satu peringatan tentang kelahiran Penyelamat kita. Alkitab mengatakan bahawa beberapa orang ahli ilmu bintang “dari Timur” tiba di Yerusalem untuk mencari “Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi” (Matius 2:1-2). Mereka telah memperhatikan langit dan telah melihat bintang-Nya “muncul di Timur”(ayat 2). Perjalanan mereka dari Yerusalem ke Betlehem adalah berpandukan bintang yang “mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu” (ayat 9). Di sana, mereka pun “sujud menyembah Anak itu” (ayat 11).

Kristus ialah sumber cahaya dalam hidup kita (pembimbing kita) dan pencipta matahari, bulan dan bintang-bintang di langit (Kolose 1:15-16). Seperti ahli ilmu bintang yang “sungguh gembira” apabila mereka melihat bintang-Nya (Matius 2:10), kegembiraan kita yang terbesar adalah mengenal Dia sebagai Penyelamat yang datang dari syurga untuk hidup dalam kalangan kita. “Kita telah melihat kemuliaan-Nya” (Yohanes 1:14)!