Kami tidak sabar-sabar menunggu berita tentang kelahiran bayi pertama jiran kita. Apabila sebuah papan tanda yang bertuliskan “Bayi Perempuan!” akhirnya muncul di laman depan rumah mereka, kami meraikan kelahiran anak perempuan mereka dan mengirimkan mesej kepada rakan-rakan yang mungkin belumtahu tentang berita ini.

Sungguh teruja untuk menantikan ketibaan seorang bayi. Sebelum kelahiran Yesus, orang Yahudi bukan setakat menunggu beberapa bulan, tetapi mereka sudah mengharapkan kelahiran Mesias, yakni penyelamat Israel yang dijangka selama beberapa keturunan. Saya membayangkan bahawa tahun berganti tahun orang Yahudi yang setia mungkin tertanya-tanya sama ada mereka akan menyaksikan janji ini ditepati dalam hayat mereka.

Pada suatu malam, berita yang dinanti-nantikan itu diperlihatkan di syurga apabila malaikat menampakkan diri kepada para gembala di Betlehem untuk mengumumkan bahawa Mesias akhirnya telah dilahirkan. Dia berkata kepada mereka, “Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung” (Lukas 2:12). Selepas para gembala melihat Yesus, mereka memuji Tuhan dan “memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka” (ayat 17) tentang bayi itu.

Tuhan mahu para gembala tahu bahawa bayi yang ditunggu-tunggu lama itu telah lahir supaya mereka dapat memberitahu orang lain tentang kelahiran Yesus. Kita masih meraikan kelahiran Yesus kerana hidup-Nya menyelamatkan sesiapa yang percaya kepada-Nya keluar daripada kegelapan dosa. Kita tidak perlu lagi menunggu untuk mengetahui kesejahteraan dan mengalami sukacita, ini memang merupakan berita baik yang patut diumumkan!