Tahun 2022 merupakan tahun yang sangat istimewa bagi saya dan isteri. Itulah tahun kelahiran cucu kami, Sophia Ashley—satu-satunya cucu perempuan antara lapan orang cucu kami. Kelahiran Sophia membuat datuk dan neneknya sentiasa mengukir senyuman! Apabila anak lelaki kami membuat panggilan video, keterujaan semakin bertambah-tambah. Saya dan isteri mungkin berada di bilik berlainan, namun jeritan sukacitanya menunjukkan bahawa dia dapat melihat wajah Sophia sepintas lalu dalam video. Pada zaman ini, kita dapat bersemuka dengan orang kesayangan yang berjauhan dengan hanya satu panggilan video.
Keupayaan untuk melihat wajah orang yang kita bercakap di telefon di tempat yang jauh merupakan perkara yang agak baharu, tetapi waktu bersemuka dengan Tuhan—berdoa dengan kesedaran bahawa kita berada di hadirat-Nya—bukan sesuatu yang baharu. Dalam Mazmur 27, ketika Daud beradadi tengah-tengah pertentangan musuh, bahkan kawan-kawan yang paling dekat pun tidak dapat membantunya (ayat 10-12), dia meluahkan seruan ini: “Hatiku berkata, “Marilah menyembah Dia.”’ Dan hatiku menyahut, ‘Aku segera datang, ya TUHAN’ ” (ayat 8, TMV).
Masa-masa sukar sewajarnya menggerakkan kita untuk mencari wajahTuhan (ayat 8). Bagaimanapun, itu bukan satu-satunya masa kita boleh atau harus bersemuka dengan Tuhan yang “di hadirat-[Nya] sepenuh bahagia dirasai”; di “tangan kanan-[Nya] nikmat dikecapi selama-lamanya” (16:11). Jika anda mendengar dengan teliti, pada bila-bila masa anda mungkin mendengar Dia berkata, “Berbicaralah dengan Aku.”