Dalam novel yang bertajuk About Grace, David Winkler ingin sekali mencari anak perempuannya yang telah renggang daripadanya, dan Herman Sheeler adalah satu-satunya orang yang dapat menolongnya. Tetapi muncullah satu masalah besar. Anak perempuan David lahir hasil daripada hubungan sulit David dengan isteri Herman, dan Herman telah memberikan amaran kepadanya supaya tidak menghubungi mereka lagi.

Beberapa dekad berlalu sebelum David menulis surat kepada Herman, dia meminta maaf atas apa yang telah dilakukannya. “Aku ada penyesalan dalam hidup kerana aku tahu begitu sedikit tentang anak perempuanku,” tambahnya, selain memohon maklumat mengenai anak perempuannya. Dia menunggu untuk melihat sama ada Herman akan menolongnya.

Bagaimanakah kita harus memperlakukan mereka yang bersalah terhadap kita? Raja Israel menghadapi persoalan ini selepas musuh-musuhnya diserahkan secara ajaib ke dalam tangannya (2 Raja-Raja 6:8-20). “Haruskah kubunuh mereka?” dia bertanya kepada nabi Elisa. Jangan, kata Elisa. “Hidangkanlah makanan dan minuman di hadapan mereka. Biarkan mereka makan dan minum, lalu pulang kepada tuan mereka” (ayat 21-22). Melalui tindakan kasih ini, Israel diperdamaikan dengan musuh-musuhnya (ayat 23).

Herman membalas surat David, mengajak David ke rumahnya dan memasak makanan baginya. “Tuhan Yesus,” dia berdoa sebelum mereka mula makan, “terima kasih kerana menjaga aku dan David selama ini.” Dia menolong David mencari anak perempuannya, dan David kemudian menyelamatkan nyawa Herman pula. Dalam tangan Tuhan, tindakan kasih kita kepada mereka yang bersalah terhadap kita sering kali membuahkan berkat kepada kita.