John sangat kecewa apabila dia kehilangan pekerjaannya. Oleh sebab dia sudah lama bekerja dan tidak muda lagi, dia tahu memang sukar untuk bermula lagi di tempat baharu. Maka dia mula mendoakan pekerjaan yang sesuai. Kemudian John mengemas kini resumenya, membaca panduan temu duga dan membuat banyak panggilan telefon. Selepas berminggu-minggu membuat permohonan, dia menerima jawatan baharu dengan masa kerja dan perjalanan ulang-alik dari tempat kerja yang sesuai. Kerana beriman, keperluan John dipenuhi oleh Tuhan tepat pada masa-Nya.

Contoh yang lebih dramatik tentang perkara ini berlaku kepada Yokhebed (Keluaran 6:20) dan keluarganya semasa orang Israel manjadi hamba di Mesir. Apabila Firaun memerintahkan bahawa semua anak lelaki Ibrani yang baru lahir hendaklah dibuang ke dalam Sungai Nil (1:22), Yokhebed pasti ketakutan. Dia tidak dapat mengubah undang-undang, tetapi ada beberapa langkah yang dapat diambilnya untuk mentaati Tuhan dan cuba menyelamatkan anak lelakinya. Melalui iman, Yokhebed menyembunyikan Musa daripada orang Mesir. Dia membuat bakul kecil daripada daun papirus yang kedap air dan “meletakkan bakul itu di tengah-tengah rumpun mensiang di tepi Sungai Nil” (2:3). Tuhan campur tangan dengan cara yang ajaib dan menyelamatkan Musa (ayat 5-10), kemudian Tuhan mengutusnya untuk membebaskan seluruh bangsa Israel daripada perhambaan (3:10).

John dan Yokhebed mengambil langkah yang sangat berbeza, namun kedua-dua kisah itu dicirikan oleh tindakan yang penuh iman. Ketakutan dapat melumpuhkan iman kita. Walaupun kesudahannya tidak seperti yang kita jangka atau harapkan, iman memampukan kita untuk terus mempercayai kebaikan Tuhan tanpa mengira hasilnya.