Pada tahun 1939, perang baru sahaja meletus di Britain. Oleh itu, Raja George VI ingin menyiarkan amanat Hari Krismasnya di radio untuk menggalakkan rakyat United Kingdom dan Komanwel supaya mereka menaruh kepercayaan mereka kepada Tuhan. Dengan memetik puisi kesayangan ibunya, dia berkata: “Menuju ke kegelapan, dan peganglah Tangan Tuhan. / Itu lebih baik bagimu daripada cahaya, dan lebih selamat daripada jalan yang diketahui.” Raja George tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada tahun baharu, namun dia percaya bahawa Tuhan akan “memimpin dan memelihara” mereka pada hari-hari yang penuh ketidakpastian kelak.

Gambaran tentang tangan Tuhan muncul di banyak tempat dalam Alkitab, termasuk kitab Yesaya. Melalui nabi ini, Tuhan memanggil umat-Nya untuk percaya bahawa Dia ialah Pencipta mereka, “yang awal, dan … juga yang akhir” (Yesaya 48:12), akan tetap menyertai mereka. Seperti yang difirmankan-Nya, “Tangan-Ku juga yang meletakkan dasar bumi, dan tangan kanan-Ku yang membentangkan langit” (ayat 13). Mereka harus menaruh kepercayaan mereka kepada-Nya dan tidak berharap kepada mereka yang kurang berkuasa. Lagipun, Dialah “Penebus Yang Maha Suci, Allah Israel” (ayat 17).

Apa pun yang kita hadapi semasa kita melangkah ke tahun baharu, kita boleh mengikut dorongan Raja George dan nabi Yesaya untuk menaruh harapan dan kepercayaan kita kepada Tuhan. Kemudian, kita juga boleh mengalami kedamaian “seperti sungai yang tidak pernah kering”, dan perbenaran [kita] seperti gelombang di lautan” yang tidak pernah berhenti (ayat 18).