Kim duduk di sisi tingkap dengan begnya yang telah dikemas, dia tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu ketibaan bapanya. Namun, apabila hari cerah makin gelap dan kemudian menjadi malam, semangatnya pun luntur. Dia sedar bahawa bapanya tidak akan datang—sekali lagi.
Ibu bapa Kim telah bercerai, dan dia ingin sekali meluangkan masa bersama bapanya. Ini bukan kali pertama, Kim terfikir, sudah tentu aku ni tidak penting bagi ayah. Ayah tidak sayangkan aku.
Seperti yang diketahui Kim kemudian—dan seperti setiap kita yang menerima Yesus sebagai Penyelamat mengetahui—walaupun ibu bapa kita dan orang lain akan mengecewakan kita, Bapa syurgawi kita mengasihi kita dan tidak akan menghampakan kita.
Yohanes memahami betapa dalamnya kasih Tuhan. Dengan ilham Roh Kudus, dia menulis tiga pucuk surat alkitabiah, kitab Injil yang bersempenakan namanya sendiri, dan kitab Wahyu. Sesungguhnya, Yohanes merujuk dirinya sebagai “murid yang dikasihi oleh Yesus” (Yohanes 21:20), dan menganggap dirinya sebagai seorang yang hidupnya telah diubah oleh kasih Kristus. Dia menulis, “Ketahuilah betapa kasihnya Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah! Dan sememanglah begitu!” (1 Yohanes 3:1).
Tuhan sangat mengasihi kita sehingga Dia menganugerahkan Anak-Nya Yesus yang menyerahkan nyawa-Nya untuk kita (ayat 16; Yohanes 3:16). Dia sentiasa sedia menerima kita dalam doa, dan Dia berjanji, “Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu. Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu” (Ibrani 13:5). Kita boleh tetap yakin akan kasih-Nya.