Musa ada tanduk? Begitulah dia digambarkan dalam arca karya Michelangelo pada tahun 1515. Dua tanduk menonjol dari rambut Musa tepat di atas dahinya..
Ini bukan sahaja muncul dalam karya Michelangelo—ramai artis pada zaman Renaissance dan zaman pertengahan menggambarkan Musa seperti itu. Mengapa? Ini berkaitan dengan terjemahan Alkitab bahasa Ibrani kepada bahasa Latin yang tersedia pada zaman tersebut, yang menggambarkan wajah Musa yang berseri-seri selepas berada di hadapan Tuhan (lihat Keluaran 34:29). Bahasa asal dalam Alkitab tersebut menggunakan perkataan yang berkaitan dengan “tanduk” untuk menggambarkan “pancaran” cahaya yang bersinar dari muka Musa, dan Vulgata, Alkitab yang berbahasa Latin menterjemahkannya secara literal. Musa telah “disalah tafsir.”
Pernahkah anda salah mentafsir seseorang? Selepas seorang lelaki yang tidak dapat berjalan sejak lahir disembuhkan oleh Petrus dalam nama Yesus (Kisah Para Rasul 3:1-10), rasul itu memberitahu orang Israel yang lain bahawa mereka telah salah tafsir Yesus. “Kamu membunuh sumber hayat itu,” katanya dengan tegas, “Tetapi Tuhan membangkitkan-Nya daripada kematian” (ayat 15). Dia meneruskan, “Tetapi dengan cara demikianlah segala yang dinyatakan Tuhan melalui lidah nabi-nabi-Nya, bahawa Kristus akan menderita, telah ditunaikan-Nya” (ayat 18). Petrus bahkan mengatakan bahawa Musa telah menunjuk kepada Kristus (ayat 22).
Dengan “iman pada nama Yesus,” “iman yang datang daripada-Nya,” kehidupan lelaki tersebut telah diubah (ayat 16). Tidak kira bagaimana kita telah salah tafsir-Nya atau siapa kita pada masa lampau, Kristus menyambut kita apabila kita kembali kepada-Nya. Tuhan yang memberikan hidup sejati kepada semua orang bersedia untuk menuliskan permulaan baru untuk kita!