Satu kajian di Denmark telah mengkaji fenomena yang pernah dialami oleh kebanyakan orang: merasakan diri lebih muda daripada usia sebenar. Penemuan itu menunjukkan satu kekonsistenan, iaitu tidak kira seberapa usia seseorang itu, semua orang melihat dirinya 20 peratus lebih muda. Seorang yang berusia lima puluh tahun cenderung membayangkan dirinya berumur empat puluh tahun. (Ini menimbulkan satu senario lucu yang seorang kanak-kanak berfikir, “Wah, aku berumur lima tahun, tetapi aku rasa aku mempunyai tenaga dan penampilan seperti kanak-kanak berumur empat tahun!”)
Kajian saintifik tidak diperlukan untuk menyatakan hal sebenar: setiap kita akan menjadi semakin tua. Ada banyak yang diperkatakan oleh Alkitab mengenai hal ini. Kata-kata Yesaya disampaikan kepada bangsa Israel yang telah menua dan menjadi lesu, namun sebagaimana yang dinyatakan oleh seorang pengulas, “Janji kepada bangsa Israel, yang lemah dan menjadi semakin tua, adalah relevan bagi setiap pengikut Kristus yang sudah lanjut usia.”
Nabi Yesaya memperingatkan kita tentang penyediaan Tuhan sepanjang hidup bagi setiap orang yang telah setia kepada-Nya: “Kudukung sejak dalam kandungan, yang Kujunjung sejak dalam rahim” (Yesaya 46:3).
Oleh itu, apabila kita risau tentang keadaan yang semakin tua, kita diingatkan bahawa Tuhan bersama dengan kita. Dia berjanji: “Sampai masa tuamu Aku tetap Dia dan sampai masa rambutmu, beruban Aku akan menanggung kamu” (ayat 4). Tidak kira umur anda (atau versi 20 peratus lebih muda yang anda bayangkan!), terimalah janji Tuhan hari ini: “Aku telah menjadikan kamu dan Aku akan terus mendukung kamu” (ayat 4).