Julie dan suaminya berasa sedih dan menyesal apabila mengetahui bahawa anak perempuan mereka suka mencuri. Tetapi dengan pertolongan Tuhan, pada suatu hari anak ini mengakui perbuatannya kepada mereka, mereka memaafkannya, seterusnya membantu dia membaiki kesalahannya dan mendapatkan kaunseling. Beberapa bulan selepas pengakuan itu, apabila anak perempuan mereka membuat komen secara terus terang bahawa mereka mungkin tidak mempercayainya lagi, Julie tertanya-tanya, Apakah maksudnya? Dia sama sekali tidak terfikirkan tentang kesalahan anak perempuannya, kerana Tuhan telah menghilangkan ingatan itu daripada fikirannya. Dia telah memutuskan untuk tidak mengingati masa lalu tetapi meminta Tuhan untuk menolong dia mengampuni anak perempuannya.
Pada saat itu, Tuhan membuat Julie merasakan kebaikan dan rahmat-Nya semasa dia mengalami kasih yang telah diberikan Tuhan kepada umat-Nya. Tuhan memberitahu umat-Nya supaya jangan “ingat-ingatkan hal-hal yang dahulu” kerana Dia “hendak membuat sesuatu yang baru” (Yesaya 43:18-19). Dia juga membuat perisytiharan yang indah, “Aku, Akulah Dia yang menghapuskan segala pelanggaranmu demi diri-Ku sendiri, dan tidak lagi mengingat dosa-dosamu” (ayat 25). Tuhan boleh sahaja mengungkit dosa kita, tetapi Dia tidak berbuat demikian, kerana Dia mengasihi dan berbelas kasihan kepada kita. Apabila kita bertaubat, Dia menghapuskan dosa kita.
Walaupun kesalahan kita yang telah diampuni mungkin mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan kita dan orang lain, Tuhan tidak akan mengungkitnya lagi. Dia akan menyelimuti kita dengan belas kasihan dan rahmat-Nya.