Seorang lelaki yang bernama Hidesaburō Ueno mengajar di Universiti Imperial Tokyo pada tahun 1920-an. Setiap petang dia akan pulang dengan menaiki kereta api pada pukul 3:00 petang. Anjingnya, Hachiko, akan setia menunggunya. Suatu hari Profesor Ueno diserang strok semasa dalam kelas dan meninggal dunia. Apabila dia tidak turun dari kereta api pada waktu petang itu, Hachiko menunggu seketika dan kemudian pulang ke rumah. Anjing itu kembali keesokan harinya pada pukul 3:00 petang, dan keesokan harinya, dan keesokan harinya lagi. Begitulah seterusnya selama sepuluh tahun. Kesetiaan Hachiko menyentuh hati ramai orang Jepun, sehingga ada orang datang untuk duduk bersama anjing itu.

Elisa mempunyai komitmen yang sama terhadap tuannya, Elia. Pada hari Elisa tahu Elia akan meninggalkan dia, Elisa enggan membiarkan dia hilang daripada pandangannya. Kemudian, sebuah kereta kuda berapi datang membawa Elia ke syurga. Elisa yang dalam keharuan berkata dengan tersekat-sekat: “Bapaku, bapaku! Rata Israel dengan pasukan berkudanya!” (2 Raja-raja 2:12). Dia mengambil jubah Elia, lambang kuasa nabi yang telah membelah Sungai Yordan beberapa saat sebelumnya (ayat 8), kemudian bertanya, “Di manakah TUHAN, Allah Elia?” (ayat 14). Dia memukul air (Sungai Yordan), dan terbelahlah sungai seperti untuk tuannya. Itulah hari yang penuh perasaan bercampur-baur!

Adakah anda pernah kehilangan seseorang yang disayangi? Tiada kata-kata yang dapat mengungkapkan kesedihan anda. Setiap tangisan melepaskan kenangan kasih yang anda kongsi. Hati anda begitu pilu kerana kasih anda yang mendalam terhadap orang yang disayangi. Betapa bercampur-baurnya perasaan! Mari kita bersyukur kepada Tuhan untuk orang yang anda kasihi, dan kesanggupan anda untuk mengasihi mereka. Elisa memungut jubah Elia. Apa pula yang anda akan lakukan?