Selepas keluarga kami mengadakan upacara peringatan di tepi sungai untuk ayah saya, kami masing-masing memilih seketul batu untuk mengingati dia. Kehidupannya adalah seperti papan dam yang penuh dengan markah kemenangan dan kekalahan, tetapi kami tahu dia selalu mempedulikan dan sangat mengasihi kami. Maka apabila jari saya menyentuh permukaan batu yang licin, saya diingati untuk selalu mengenang ayah saya.

Dalam Lukas 19, Yesus memasuki Yerusalem dengan penuh kemenangan, sementara orang ramai melambai-lambaikan daun palma sambil berseru, “Hosana!”, dan bersorak, “Diberkatilah raja yang datang dengan nama Tuhan!” (ayat 38; lihat Yohanes 12:12-13). Orang Farisi menganggap sorakan orang ramai ini bahawa Yesus ialah Mesias sebagai satu perbuatan menghujat, maka dalam kemarahan, mereka mengarahkan Yesus menegur pengikut-pengikut-Nya untuk diam. Yesus menjawab, “Jika mereka diam, batu-batu pula akan bersorak” (Lukas 19:40).

Batu-batu memang bersorak dalam banyak cara. Tuhan telah menggunakan batu sepanjang kisah kasih-Nya kepada kita. Sepuluh perintah yang dipahat pada dua keping loh batu dikurniakan untuk memberitahu kita cara hidup yang menyenangkan hati-Nya (Keluaran 34:1). Batu-batu peringatan yang ditimbun di tepi Sungai Yordan dan di tengah-tengah sungai itu mengingatkan generasi orang Israel yang seterusnya tentang pemberian dan kesetiaan Tuhan (Yosua 4:8-9). Batu yang digulingkan untuk menempatkan tubuh Yesus adalah batu yang sama digulingkan semula untuk menunjukkan Dia telah bangkit (Matius 27:59-66; Lukas 24:2). Kita “mendengar” batu ini kerana ia mengingatkan kita akan kata-kata Yesus, “Akulah kebangkitan dan hidup” (Yohanes 11:25).

Dengarkan batu-batu itu dan bersama-sama laungkan suaramu sendiri untuk memberi pujian kepada Bapa kita yang pengasih.