Suasana tempat dan penginapan untuk mesyuarat kepimpinan kami di pusat bandar Chicago adalah sangat berbeza dengan keadaan yang saya temui dalam perjalanan ke sana—ramai orang tidak mempunyai sumber makanan dan tempat tinggal yang asas. Perbezaan yang ketara itu membuatkan saya membayang dan menyatakan dengan jelas tentang perkara-perkara yang perlu kami sertakan dalam perancangan visi kami, supaya kami boleh melayani bandar ini dan tempat-tempat lain: untuk mendapatkan sumber Injil (apa-apa sahaja yang diberikan oleh Tuhan untuk membantu menyebarkan berita tentang kasih dan penyelamatan-Nya) ke tempat yang paling memerlukan bantuan.
Ketika Paulus menulis kepada orang-orang Rom yang percaya kepada Yesus, dia belum sempat mengunjungi mereka lagi—tetapi dia ingin pergi ke sana: “Aku sungguh ingin berjumpa dengan kamu untuk menyampaikan sesuatu pemberian rohani bagi menguatkanmu; maksudku, supaya kita saling meneguhkan semangat: aku mendapat keteguhan daripada imanmu, dan kamu daripada imanku” (Roma 1:11-12). Rasul Paulus menantikan “pertukaran hadiah” yang akan memberi manfaat kepada dia dan orang lain, semasa mereka berusaha untuk hidup bagi Yesus dan melayani orang lain.
Sumber-sumber yang kita miliki termasuklah kurnia rohani dan sumber peralatan yang diberikan kepada kita oleh Tuhan. Semoga kita rela dipakai oleh Tuhan untuk menjangkau orang di sekeliling kita dengan mesej Injil yang disertakan belas kasihan. Dan, semasa Tuhan memberi kuasa kepada kita, marilah kita membuka hati, tangan dan bibir kita untuk melayani orang lain. Semoga kita “tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana Injil ialah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman” (ayat 16).