Semasa menghadapi skuad penembak, Fyodor Dostoevsky secara senyap mengira detik-detik terakhir dalam hidupnya. Dostoevsky, seorang yang percaya kepada Yesus, dianggap sebagai salah seorang penulis terhebat dalam bidang kesusasteraan. Novelnya yang bertajuk Adik-beradik Karamazov (The Brothers Karamazov) meneroka tema tentang Tuhan, kehidupan dan kematian. Komen orang lain tentang Dostoevsky ialah, “Dia bercakap tentang Kristus dengan penuh semangat.” Senapang pun dinaikkan. “Sedia! … Sasarkan …”.

Yesus, ketika merujuk kepada hukuman mati-Nya sendiri, bercakap kepada para pengikut-Nya dan kita tentang nilai kehidupan kekal dan kematian apabila Dia berkata, “Sudah sampai masanya” (Yohanes 12:23). Perumpamaan itu bermaksud benih itu ialah kehidupan kita, yang menghasilkan tuaian yang besar melalui pengorbanannya sendiri (ayat. 24). Yesus memberitahu kita untuk tidak terlalu mengasihi kehidupan ini, kerana mereka yang sanggup mengorbankan kehidupan sekarang ini yang akan mendapat “hidup yang kekal” (ayat 25).

Pengorbanan diperlukan untuk menjadi pengikut-Nya. Tetapi kita mendapatkan harapan dalam kata-kata-Nya, “Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa ” (ayat 26).

Fyodor semakin menghampiri kematian. Tetapi surat daripada Tsar (Maharaja Rusia) telah dihantar pada saat terakhir. Hukumannya ditangguhkan. Nyawa Dostoevsky terselamat, namun pengalaman ini akan diselitkan ke semua karyanya pada kemudian hari. Sesungguhnya, epigraf (atau tema buku) The Brothers Karamazov adalah berdasarkan ayat ini, Yohanes 12:24: “Jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.”