Dalam filem animasi Toy Story, alat mainan kepunyaan seorang budak akan menjadi hidup apabila budak itu keluar dari biliknya atau tertidur. Salah satu watak, iaitu seorang renjer angkasa yang bernama Buzz Lightyear, akan menjeritkan slogan khasnya sambil terbang ke bilik tidur: “Ke infiniti dan melampauinya!”

Frasa tersebut telah mengelirukan ramai orang. Bukankah infiniti adalah sejauh yang anda boleh pergi? Bagaimanakah mungkin ada sesuatu yang “melampaui” infiniti? Berdasarkan kebijaksanaan daripada para ahli falsafah Yunani kuno, ahli matematik Ian Stewart mengusulkan bahawa apa yang melampaui infiniti adalah infiniti yang lebih besar, secara terus-menerus dan tiada penghujung.

Yesus nampaknya menggunakan maksud eksponensial (tahap yang melampaui infiniti) yang sedemikian dalam aspek pengampunan. Apabila Petrus bertanya kepada Yesus tentang mengampuni orang lain, “Berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?” Yesus menjawab, “Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali” (Matius 18:21-22). Yesus meneruskan dengan menceritakan perumpamaan yang membandingkan seorang raja yang berbelas kasihan dan seorang hamba yang tidak berbelas kasihan, dengan menyatakan bahawa apabila seseorang benar-benar menyesali kesilapan mereka, tidak ada batasan untuk berapa kali kita harus mengampuni. Kita harus mengampuni orang lain seperti Tuhan mengampuni kita (ayat 33). Berulang kali, terus dan seterusnya.

Itu mungkin kelihatan mustahil bagi kita. Itulah sebabnya kita perlu sentiasa meminta pertolongan Tuhan.

Hanya dengan kuasa-Nya kita boleh melakukan sedemikian. Orang yang diampuni akan mengampuni orang lain. Ke infiniti dan melampauinya!