Semasa ayahnya membuang tali pancingnya ke dalam tasik, Thomas yang baru berusia dua tahun meniru tindakan bapanya dengan pancing mainannya sendiri. Kemudian, semasa dia berdiri di pinggir tasik yang cetek, Thomas juga cuba meniru aksi bapanya yang membuang ikan kembali ke dalam air dengan mencelupkan pancingnya ke dalam air untuk “menangkap” rumpai. Selepas setiap “tangkapan,” Thomas akan mengangkat rumpai yang telah ‘ditangkapnya’ untuk menunjukkan kepada ayahnya sebelum membuangkannya kembali ke dalam tasik.
Kita cenderung untuk belajar—apa yang baik dan sempurna serta apa yang tidak baik—melalui pemerhatian serta meniru gaya orang lain. Mungkin itulah sebabnya dalam Perjanjian Baru, pengikut Yesus sering digalakkan untuk mengikut teladan hamba Injil yang setia (lihat 2 Tesalonika 3:9; Ibrani 13:7; 3 Yohanes 1:11).
Dalam 2 Tesalonika 3, Paulus memberikan contoh tingkah laku yang tidak boleh ditiru (gaya hidup pemalas, kasar, dan suka mencampuri urusan orang lain; ayat 6, 11) dan memberitahu pembacanya untuk meniru contoh integriti yang terdapat dalam dirinya dan para pemimpin lain (ayat 7-10). Dia menggalakkan mereka supaya “janganlah jemu berbuat baik” (ayat 13).
Tetapi Paulus tahu bahawa akhirnya teladannya hanya sesuai untuk ditiru menurut sejauh mana dia menunjukkan kebergantungannya pada Kristus (1 Korintus 11:1). Hanya dengan hidup yang berakar umbi dalam iman dan kuasa Kristus, kita boleh bertumbuh dalam rahmat dan hikmat.