Setiap kali pada musim luruh, tumbuhan-tumbuhan seperti ragweed (genus tanaman liar yang dapat menghasilkan serbuk sari dan menyebabkan reaksi alergi yang parah) merengsakan resdung anak saya. Pada suatu malam, simptomnya menjadi sangat teruk dan saya fikir dia mesti dibawa berjumpa doktor. Keluarga kami baru sahaja pulih daripada masalah kesihatan yang serius selama berbulan-bulan, dan saya berasa sangat berputus asa sehingga tidak mahu berdoa. Bagaimanapun, suami saya mendapat harapan dalam Tuhan yang telah menolong kami mengatasi segala yang kami lalui selama ini. Dia berdoa memohon petunjuk. Tidak lama selepas itu, dengan bantuan ubat-ubatan, keadaan anak kami bertambah baik.

Walaupun beberapa orang rakan mereka mula berputus asa, Kaleb dan Yosua telah menunjukkan harapan dan keyakinan selepas mengintip tanah Kanaan (Bilangan 14:6-9). Tuhan telah menjanjikan kawasan tersebut kepada umat Israel, dan Kaleb berkata, “Kita harus maju dan menduduki negeri itu, kerana kita pasti dapat mengalahkannya!” (13:30). Orang lain pula merasakan ini adalah sangat mustahil, kerana orang Kanaan terlalu berkuasa dan kota mereka dikawal dengan ketat (ayat 28, 31-33).

Inilah cabaran-cabaran yang serius; tetapi iman Kaleb bersandar pada kesetiaan Tuhan yang telah ditunjukkan kepada umat-Nya dalam pergelutan mereka sejak masa lalu. Umat Tuhan akhirnya berjaya menakluki Kanaan, dan Kaleb menerima bahagiannya kerana dia telah mengikut Tuhan “dengan sepenuh hati” (Yosua 14:9).

Ramai orang berasa putus asa dalam pelbagai situasi, tetapi bagi mereka yang mengenal Tuhan dan percaya pada kesetiaan-Nya, sentiasa ada sebab untuk menaruh harapan apabila kita bersungguh-sungguh percaya bahawa kuasa dan rahmat-Nya akan membawa kita melalui pelbagai cabaran.