Kucing liar mengiau-ngiau dengan penuh kasihan dan menyebabkan saya berhenti sejenak. Saya baru sahaja berjalan melepasi timbunan makanan yang telah dibuang di atas tanah oleh seseorang. Wah, Tuhan sediakan makanan untuk kucing yang kelaparan ini, saya fikir. Makanan itu disorokkan di sebalik tiang berdekatan, jadi saya cuba memanggil kucing yang kurus kering itu datang ke tiang tersebut. Ia bergerak ke arah saya dengan penuh yakin—kemudian berhenti dan enggan mengikuti saya lebih jauh. Saya tertanya-tanya, Alahai, mengapa tidak ikut cakap aku? Banyak makanan yang menunggu kamu di situ!
Kemudian saya terfikir: Bukankah saya juga bertindak sedemikian dalam hubungan saya dengan Tuhan? Berapa kerap saya telah mengikuti perintah Tuhan dengan berfikir, Tuhan, aku percaya kepada-Mu, tetapi aku tidak yakin tentang perintah-Mu—tanpa menyedari bahawa mungkin Tuhan sedang menanti untuk mengurniai kita berkat besar-Nya.
Jalan Tuhan adalah benar dan boleh dipercayai, kerana Dia mengasihi kita dan mengutamakan kepentingan terbaik kita. “Aku akan mendidik dan mengajarmu ke jalan yang benar; Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku,” kata-Nya (Mazmur 32:8). Namun, Dia tidak memperlakukan kita seperti haiwan yang perlu dikawal (ayat 9). Dia menghendaki kita mengikut Dia dengan rela hati dan menjanjikan kehadiran-Nya yang kekal apabila kita melakukannya: “Orang yang percaya kepada TUHAN akan dilimpahi kasih setia” (ayat 10). Apa yang perlu kita lakukan hanyalah terus mengikut Dia, mengetahui bahawa Dia akan bersama kita di setiap langkah.