“Nak tengok parut saya?” Rakan saya Bill telah lumpuh daripada dada ke bawah selepas terjatuh dari tangga beberapa tahun lalu, dan kini dia berada di hospital kerana jangkitan teruk yang diperoleh semasa pembedahan. Semasa kami membincangkan cabaran baharunya, dia menyelak selimutnya untuk menunjukkan kepada saya insisi panjang yang dibuat untuk merawat jangkitannya. “Sakitkah?” saya bertanya. “Saya sama sekali tidak dapat merasakannya,” jawabnya.
Sebaik sahaja dia berkata demikian, saya rasa bersalah. Sepanjang tahun saya mengenalinya sebagai kawan, saya tidak menyedari bahawa kecederaannya telah menghalang pergerakan dan keupayaannya untuk merasa. Saya berasa malu kerana saya sepatutnya lebih empati terhadapnya dan kecederaannya untuk lebih memahami apa yang dihadapinya setiap hari.
Sifat kurang prihatin terhadap kawan saya mengingatkan saya tentang sesuatu yang dilakukan oleh Raja Hizkia dari negeri Yehuda. Apabila nabi Yesaya memberitahunya bahawa segala sesuatu di istananya suatu hari nanti akan “diangkut ke Babel,” dan keturunannya sendiri “dibawa pergi” (2 Raja-Raja 20:17-18), Hizkia gembira. “Sebab dia berfikir, ‘“Bukankah itu bererti ada kedamaian dan keamanan pada zamanku?” (ayat 19). Walaupun dia seorang raja yang baik, Hizkia lebih menumpukan perhatian kepada dirinya sendiri dan bukannya apa yang akan dihadapi oleh orang lain.
Betapa bezanya respons Tuhan kita. Yohanes menuliskan, “Inilah kasih: Bukannya kita telah mengasihi Allah, tetapi Allah mengasihi kita dan mengutus Anak-Nya” untuk menyelamatkan kita (1 Yohanes 4:10, TMV). Sedemikian dalamnya keprihatinan Tuhan terhadap kita sehingga Dia menderita untuk kita, supaya kita dapat hidup dalam kasih-Nya selama-lamanya.