Apabila Dianne Dokko Kim dan suaminya mengetahui bahawa anak mereka telah disahkan mempunyai autisme, dia bergelut dengan kemungkinan bahawa anak lelakinya yang cacat kognitif mungkin akan hidup lebih lama daripadanya. Dia berseru kepada Tuhan: Apa yang akan terjadi kepada anak saya tanpa saya menjaganya? Tuhan menyediakan sokongan yang terdiri daripada segologan dewasa lain yang juga membesarkan kanak-kanak kurang upaya. Dia memberi daya kepada Dianne untuk mempercayai Dia walaupun dengan rasa bersalah yang sering tidak dapat dijelaskan, perasaan tidak mencukupi, dan ketakutan. Akhirnya, dalam bukunya Unbroken Faith (Iman yang Teguh), Dianne menawarkan harapan kepada orang dewasa lain yang membesarkan kanak-kanak kurang upaya melalui “pemulihan rohani”. Apabila anaknya memasuki usia dewasa, iman Dianne tetap teguh dalam imannya. Dia percaya bahawa Tuhan akan sentiasa menjaga dia dan anaknya.

Ketidakpastian dalam hidup boleh mengeraskan hati kita terhadap Tuhan. Kita mungkin tergoda untuk meletakkan kepercayaan kita pada perkara atau orang lain, termasuk diri kita sendiri. Bagaimanapun, kita boleh bergantung pada “Batu Pejal penyelamatan kita” (Mazmur 95:1)—frasa yang menunjukkan kepastian tentang sifat Tuhan. “Dalam tangan-Nya tempat-tempat dalam di bumi, bukit-bukau yang tinggi juga milik-Nya. Laut milik-Nya kerana Dia yang menjadikannya, dan tangan-Nya membentuk daratan yang kering” (ayat 4-5).

Kita boleh hidup dengan iman yang teguh, menyembah “TUHAN Pencipta kita” (ayat 6). Kita boleh percaya bahawa Dia selalu menyertai kita dan orang yang kita sayangi, kerana kita adalah “kawanan domba di bawah tangan-Nya” (ayat 7).