Dalam ucapannya pada tahun 2024 kepada 1,200 orang graduan universiti, ahli perniagaan jutawan Robert Hale Jr. berkata: “Masa-masa yang mencabar ini telah meningkatkan keperluan untuk berkongsi, mengambil berat dan memberi. [Saya dan isteri saya] ingin memberi kamu dua buah hadiah: yang pertama ialah pemberian kami kepada kamu, dan yang kedua ialah anugerah untuk memberi.” Kemudian dia mengagihkan dua helai sampul kepada setiap satu graduan yang tidak menjangkakannya, iaitu lima ratus dolar untuk disimpan dan lima ratus dolar untuk diberikan kepada orang yang memerlukan.

Walaupun kekayaan Robert Hale membolehkan dia berkongsi dengan cara sebegini lebih daripada sekali, kemurahan hati bukanlah hak istimewa mereka yang kaya sahaja. Orang-orang yang percaya kepada Yesus di Makedonia purba pun memberi walaupun mereka amat miskin, supaya keperluan orang percaya di Yerusalem dapat dipenuhi. Paulus berkata tentang orang Makedonia, “Sungguhpun mereka banyak diuji dengan kesusahan, namun kegembiraan mereka melimpah. Walaupun mereka sangat miskin, mereka kaya dalam kemurahan hati” (2 Korintus 8:2). Dia memuji mereka kerana “mereka memberi setakat termampu, malah lebih daripada itu. Mereka telah meminta bersungguh-sungguh kepada kami agar mereka diberi anugerah untuk menyumbang kepada keperluan orang salih” (ayat 3-4).

Mereka yang menyedari bahawa mereka telah diberi banyak rahmat daripada Tuhan melalui Yesus boleh menyumbang dengan murah hati kepada orang lain yang memerlukan. Dengan pertolongan Tuhan, marilah kita memberi seperti contoh Orang yang berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima” (Kisah Para Rasul 20:35, TMV).