Rakan saya memandang ke arah mata saya dan berkata, “Jangan sia-siakan kesakitan kamu.” Fikiran saya serta-merta kembali ke masa bertahun-tahun sebelumnya ketika saya memimpin kebaktian upacara peringatan untuk anak lelakinya yang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya. Rakan saya ini tahu apa yang dicakapnya. Dia tahu tentang kesakitan. Tetapi dia juga tahu bagaimana kesakitan itu boleh digunakan oleh Tuhan untuk memuliakan diri-Nya sendiri, dan membantu orang lain. Inilah yang telah dilakukan oleh rakan saya dengan sangat baik. Semasa saya mendengar kata-katanya, hati saya terhibur dan digalakkan ketika saya menghadapi diagnosis kanser yang serius. Rakan itu mengingatkan saya bahawa Tuhan mendengar tangisan dan ratapan saya. Tuhan juga bersama saya dalam kesakitan saya, dan mungkin menggunakannya untuk membantu orang lain dengan cara yang baharu.
Musa juga belajar bahawa Tuhan bersama dengan umat-Nya dalam kesengsaraan mereka. Tuhan berfirman kepada Musa, “Aku telah menyaksikan penindasan umat-Ku di Mesir, dan mendengar rintihan mereka … Aku tahu tentang keperitan yang dialami mereka” (Keluaran 3:7). Umat Israel, seperti juga kita pada masa-masa tertentu, pasti pernah terasa kesunyian dalam kesakitan mereka. Tetapi Tuhan meyakinkan mereka bahawa Dia mempunyai rancangan untuk “menyelamatkan mereka” dan “rintihan” hati mereka telah didengari-Nya (ayat 8-9). Akhirnya Dia akan menggunakan kesakitan mereka untuk memperkukuh iman mereka, mengalahkan musuh mereka, dan memuliakan-Nya.
Dalam Mazmur 90, satu-satunya mazmur yang dikaitkan dengan Musa, menyatakan bahawa walaupun “[hidup manusia] tiada kemegahannya kecuali penat dan sedih pilu” (ayat 10), “kasih setia” Tuhan bersama kita “seumur hidup” (ayat 14). Dia dengan penuh kasih sayang tidak akan mensia-siakan kesakitan kita, demikian juga kita.