Mon Dieu. Lieber Gott. Drahý Bože. Aγαπητέ Θεέ. Dear God. Saya mendengar doa dalam bahasa Perancis, Jerman, Slovak, Yunani, dan Inggeris yang bermaksud ‘Ya Tuhan’ bergema melalui gereja di pusat Athens, ketika kami berdoa serentak dalam bahasa ibunda kami agar orang di negara asal kami mendengar tentang kasih Tuhan. Keindahan perhimpunan itu lebih terserlah apabila perhimpunan kami berlaku pada hari Pentakosta.

Dalam Perjanjian Lama, Pentakosta ialah perayaan pesta menuai yang disambut lima puluh hari selepas perayaan Paska (Imamat 23:15-21). Pada Pentakosta pertama selepas kematian dan kebangkitan Yesus, para umat yang percaya berkumpul di sebuah rumah di Yerusalem. Tiba-tiba suatu bunyi seperti “angin kencang” datang, dan sesuatu yang ‘seperti api rupanya’ hinggap pada mereka masing-masing ketika mereka dipenuhi dengan Roh Kudus. Lalu mereka “mulai bertutur dalam pelbagai bahasa asing, seperti yang diberikan oleh Roh itu” (Kisah Para Rasul 2:2-4). Para pelawat dari negara lain yang berada di situ pada masa itu mendengar “keajaiban Tuhan” dalam bahasa mereka sendiri (ayat 11). Kemudian, selepas Petrus “berkata kepada orang ramai” (ayat 14), ramai orang percaya kepada mesej bahawa Yesus telah disalibkan dan dibangkitkan untuk mengampuni (ayat 22-41).

Doa pelbagai bahasa daripada para pemimpin pelayanan yang berkumpul di Athens mengingatkan saya bahawa mesej Petrus yang didengar pada Pentakosta terus dikongsi di seluruh dunia, dan orang ramai masih menyahutnya dengan iman.

Marilah kita berdoa agar Roh Kudus memberi kuasa kepada kita seperti orang-orang yang mula-mula percaya kepada Yesus semasa Pentakosta untuk memberitahu tentang kasih Tuhan. Dan marilah kita berdoa agar mesej itu didengari dalam setiap bahasa yang dituturkan di seluruh dunia.