Beberapa tahun yang lalu, selepas berbalas kata-kata yang menyakitkan hati, Carolyn dan saya menyelesaikan konflik di antara kami melalui belas kasihan dan kasih kepada sesama. Saya mengakui kesalahan saya, dan dia berdoa untuk saya, dengan merujuk Yehezkiel 36:26: “Aku akan mengurniakan kepadamu hati yang baru dan menaruh roh yang baru dalam batinmu. Akan Kusingkirkan hati yang keras daripada tubuhmu dan Kukurniakan hati yang lembut kepadamu.” Saya merasakan bahawa Tuhan sedang menjalankan satu bentuk pembedahan jantung rohani ke atas saya, menghilangkan ketakutan dan kepahitan saya ketika Dia merangkul saya dalam kasih-Nya.
Tuhan senang hati untuk melihat kita menerapkan firman-Nya dalam kehidupan, seperti yang saya lakukan pada masa itu, tetapi penting untuk memperhatikan konteks asal petikan itu. Yehezkiel bercakap bagi pihak Tuhan kepada umat-Nya dengan janji bahawa Dia akan menyucikan mereka. Mengapa? “Bukan kerana kamu Aku bertindak … melainkan kerana nama-Ku yang suci” (ayat 22). Tuhan akan melakukan kerja penyucian-Nya dalam kalangan umat-Nya supaya semua bangsa akan menghormati Dia dan mengetahui bahawa Dia ialah Tuhan.
Tuhan melaksanakan tujuan-Nya dalam hidup kita bukan sahaja untuk membantu kita terus bertumbuh, tetapi supaya kita membawa kemuliaan kepada-Nya. Seperti Dia berjanji kepada orang Israel bahawa Dia akan mengurniai hati yang baru dan roh yang baru, demikian juga melalui kerja Roh Kudus dalam batin kita, Tuhan menggantikan hati kita yang dingin dan keras dengan mereka yang menerima dan berkongsi kasih dan kehidupan Tuhan.