Sadio Mané ialah seorang bintang bola sepak berbangsa Afrika yang bermain untuk pasukan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris. Dia ialah salah seorang pemain yang bergaji tinggi di dunia, yang mencapai beberapa juta dolar setiap tahun. Peminat melihat gambar Mané yang membawa telefon pintar jenama iPhone dengan skrin yang retak dan membuat jenaka mengenai dia menggunakan peranti yang rosak itu. Reaksinya tenang sahaja. Dia berkata, “Buat apa saya nak sepuluh Ferrari, dua puluh jam tangan berlian, dan dua pesawat jet? Saya pernah mengalami kelaparan, bekerja di ladang, bermain bola sepak dengan berkaki ayam, dan tidak mampu pergi ke sekolah. Sekarang saya boleh membantu orang. Saya lebih suka membina sekolah, memberi makanan dan pakaian kepada mereka yang miskin … [Memberi] sebahagian daripada apa yang telah diberikan oleh kehidupan kepada saya.”

Mané tahu bahawa jika semua kekayaannya disoroknya, itulah suatu sifat yang amat mementingkan diri, sedangkan begitu ramai jiran di kampungnya hidup menderita. Penulis kitab Ibrani mengingatkan kita bahawa cara hidup yang murah hati ini adalah untuk setiap orang, bukan sahaja untuk mereka yang kaya. “Jangan lupa berbuat baik dan berkongsi [kepada orang lain], kerana korban demikianlah yang diredai Allah” (Ibrani 13:16). Memupuk kemurahan hati bukan sahaja perkara yang betul untuk dilakukan, tetapi menurut Kitab Suci, kemurahan hati juga membuat Tuhan tersenyum. Setiap kita pasti ingin diredai Tuhan, bukan?

Kemurahan hati bukan ditakrifkan hanya dengan jumlah yang kita berikan, sebaliknya adalah berkaitan dengan niat, kebaikan dan keprihatinan dalam hati kita. Satu perkara yang boleh kita lakukan agar “diredai [Tuhan]” (Ibrani 13:21) adalah dengan rela berkongsi apa yang kita ada.