Steve menggenggam gergaji mesin dan menuju ke hutan. Ketika itulah dia mendengar August yang berusia lima tahun berkata, “Tunggu saya, ayah! Saya nak ikut!” Sambil memegang gergaji mainan, memakai sarung tangan kerja dan penutup telinga, August mengikut Steve keluar dari pintu. Steve meletakkan beberapa batang kayu untuknya dalam jarak yang selamat. Selepas sepuluh minit, August telah pun berasa haus. Memotong balak dengan gergaji palsu ialah kerja yang sukar! Tetapi dia gembira kerana dapat “membantu” ayahnya, dan ayahnya gembira dapat meluangkan masa bersama anaknya.

Bukankah ini yang diinginkan oleh Bapa syurgawi kita? KIta rasa kita sedang membantu. “Tunggu saya, Ayah! Saya perlu mengambil gergaji saya!” Tetapi gergaji kita langsung tidak penting. Kita tidak dapat membantu seperti yang kita fikirkan. Tuhan lebih mengambil berat tentang bahagian pertama, “Tunggu saya, Ayah!” Dia tidak memerlukan bantuan kita.

Jika anda mengasihi Anak-Nya, Yesus, Tuhan telah mengangkat anda ke dalam keluarga-Nya dan memberikan Roh-Nya kepada anda. “Kerana kamu bukanlah menerima Roh yang menyebabkan kamu diperhamba lagi oleh ketakutan, tetapi telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah” (ayat 15). Kita bukan hamba yang mendapat tempatnya melalui kerja keras. Kita ialah seorang anak yang disayangi oleh Bapa, tidak kira apa pun keadaan dan tindakan kita. “Ketahuilah betapa kasihnya Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah! (1 Yohanes 3:1).

Bapa syurgawi kita bergembira apabila kita melayani Dia. Tetapi Dia tidak memerlukan pertolongan kita. Dia hanya mahukan kita mendekatkan diri kepada-Nya.