Apabila Neil Douglas menaiki pesawat ke Ireland, dia mendapati tempat duduknya telah diduduki oleh penumpang lain. Maka dia pun memulakan perbualan dengan penumpang itu bagi menyelesaikan masalah tersebut. Apabila penumpang itu mendongak untuk menjawab, Neil mendapati rupa mereka hampir sama! Penumpang-penumpang lain ketawa melihat persamaan rupa kedua-dua lelaki itu semasa mereka berswafoto. Kemudian, mereka bertembung semula apabila mendaftar masuk ke hotel yang sama dan kali ketiga di pub tempatan. Keesokan paginya, mereka mendapati swafoto mereka telah menular di media sosial kerana persamaan wajah mereka yang ketara.

Mempunyai persamaan rupa dengan orang lain merupakan satu kejutan bagi kita yang bukan kembar, tetapi Alkitab mengatakan bahawa kita akan mula menyerupai Tuhan apabila kita mengikuti Dia. Dalam Perjanjian Lama, kulit muka Musa berubah menjadi bercahaya-cahaya selepas bersemuka dengan Tuhan—“sehingga bangsa Israel tidak dapat memandang wajahnya” (2 Korintus 3:7; lihat Keluaran 34:33-35).

Hari ini, kita melihat kemuliaan Yesus terpancar dalam diri peribadi-peribadi yang “telah diubah menjadi serupa dengan-Nya” melalui pelayanan Roh Tuhan (2 Korintus 3:18; lihat ayat 8). Pengetahuan dan kasih kita yang semakin bertumbuh kepada Tuhan menghasilkan perubahan moral dan rohani yang boleh dilihat secara dalaman dan luaran. Apabila Tuhan “mengubah” hati dan fikiran kita, orang lain yang turut sama dalam perjalanan hidup ini akan nampak perubahan hidup kita dengan jelas.