Wendy berasa seperti tersisih. Semasa rehat makan tengah hari, bosnya telah meletakkan coklat di atas meja semua orang—kecuali mejanya. Dengan hairan, dia mengeluh kepada rakannya, “Mengapa dia menyisihkan saya?”

Apabila ditanya, bos mereka menjelaskan: “Coklat-coklat itu masih elok, tetapi sudah lama. Wendy sedang hamil, jadi saya ingin menjaga makanannya.” Kemudian dia bergurau dan gelak ketawa. “Saya tidak mengambil kisah kamu yang lain …”

Insiden kecil itu menjadi bahan jenaka di pejabat, tetapi ia membuatkan saya berfikir tentang bagaimana kita kadang-kadang tersalah faham niat Tuhan disebabkan pemahaman dan persepsi kita yang terhad. Kita mungkin berfikir bahawa diri kita diperlakukan dengan tidak adil, tetapi kita lupa bahawa Tuhan sentiasa mengutamakan kepentingan kita. Tuhan tetap begitu.

Yesaya 55:8-9 mengingatkan kita bahawa walaupun kita mungkin tidak memahami sepenuhnya pemikiran dan cara Tuhan, namun kita boleh yakin bahawa pemikiran dan cara-Nya adalah “lebih tinggi daripada jalan [kita]” (ayat 9). Keinginan kita sering dipengaruhi oleh keinginan yang mementingkan diri sendiri; Tuhan adalah sempurna, penyayang dan benar. Jadi, walaupun keadaan tidak kelihatan baik buat masa ini, kita boleh percaya bahawa Tuhan akan menyediakan apa yang benar-benar kita perlukan (ayat 1-2), kerana Dia penyayang dan setia kepada janji-Nya yang kekal (ayat 3). “Berserulah kepada-Nya selagi Dia dekat” (ayat 6), dengan mengetahui bahawa Dia tidak pernah meninggalkan kita.