Penyataan yang terpapar pada dinding bank di tempat tinggal saya menyatakan bahawa prinsip korporatnya boleh diringkaskan dalam satu perkataan: kesopanan. Alangkah gembiranya hati mendapat layanan yang penuh sopan daripada kerani yang membantu saya mengurus transaksi saya di bank itu!

Mengamalkan kesopanan di dunia yang kasar dan kejam ini, ialah satu idea yang penting. Konsep ini didapati dalam surat rasul Paulus kepada sahabatnya Titus. Paulus mengarahkan Titus supaya mengingatkan jemaatnya dengan berkata, “Larang mereka mengumpat atau bertengkar, dan mendorong mereka bersikap ramah-tamah serta lemah lembut kepada semua orang” (Titus 3:2). Idea budi bahasa ini juga diterjemahkan sebagai “hidup damai dengan semua orang” (Terjemahan Sederhana Indonesia) atau membawa maksud “menunjukkan penghargaan, rasa hormat, dan perhatian yang sepenuhnya” dalam Alkitab bahasa Inggeris, NASB.

Cara kita melayan orang lain mencerminkan sama ada kita melihat mereka sebagai pembawa imej Tuhan atau tidak. Dalam bukunya yang bertajuk The Weight of Glory (Kepentingan Kemuliaan), C. S. Lewis menulis, “Di dunia ini tiada manusia yang biasa-biasa, orang yang kamu temui bukanlah sekadar manusia yang fana.” Lewis menantikan masa depan yang kekal, bahawa kita ini sama ada akan menikmati kehadiran Tuhan atau terpisah daripada-Nya selama-lamanya. Jadi dia mengingatkan kita, “Mereka yang kita bergurau dengannya, bekerja, berkahwin, bahkan diremehkan atau dieksploitasi, semuanya memiliki roh yang kekal. Mereka sama ada akan mengalami kegelapan abadi yang tiada harapan, atau menikmati sinar kemuliaan yang kekal”.

Semoga Roh Kudus menolong kita memperlakukan setiap orang di sekeliling kita dengan seadanya mereka—pembawa imej Tuhan.