“Aaaaaaak!” jerit anak perempuan saya. “AaaaaYYYAAHH! Cepat naik ke sini!”

Saya tahu apa masalahnya: seekor rama-rama. Setiap musim bunga, sekumpulan besar serangga berdebu ini akan berhijrah dari dataran Nebraska ke pergunungan Colorado, dan menghabiskan musim panas di sana. Setiap tahun, kami bersiap sedia untuk kedatangan serangga ini. Namun tahun ini keadaan menjadi sangat teruk.

Bagi manusia, rama-rama ialah perosak yang tidak diingini, malah sering terbang terus ke muka anda. Tetapi bagi burung-burung pula, serangga ini menjadi suatu pesta. Dengan menjalankan sedikit penyelidikan, saya mengetahui bahawa rama-rama menyediakan nutrisi yang luar biasa untuk burung layang-layang yang sering muncul di kawasan ini. Walaupun menjengkelkan, rama-rama ini seolah-olah “manna” bagi burung-burung.

Saya tidak tahu sama ada Israel mengalami penghijrahan rama-rama pada zaman Yesus atau tidak. Tetapi Kristus pernah menyebut tentang pemeliharaan Tuhan terhadap burung dalam Khutbah di atas Bukit, “Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, atau menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung?” (Matius 6:26).

Jadi kebelakangan ini, saya mula melihat rama-rama dari sudut yang berbeza. Serangga ini bukan lagi makhluk kotor yang menjengkelkan, tetapi sebagai peringatan bersayap mengenai pemeliharaan Tuhan terhadap ciptaan-Nya—dan sebagai metafora hidup tentang pemeliharaan-Nya untuk saya juga. Jika Tuhan menyediakan keperluan yang begitu melimpah untuk burung layang-layang, apatah lagi saya dan anda? Bukankah Dia begitu memperhatikan segala keperluan kita?