Sambil bertenggek tinggi pada tembok panjat, Sarah mula merasakan panik apabila jari-jarinya yang makin lemah tidak lagi bertahan pada tempat berpegang. Apa akan terjadi jika aku terhempas ke tanah dari tempat yang begitu tinggi? dia tertanya-tanya.
Akan tetapi, pengajar terus-menerus memberikan jaminan dari bawah. Apabila “jurubelit” bertambat ke hujung tali sebelah lagi yang terikat pada abah-abah Sarah melalui takal, beratnya akan menahan Sarah jika dia jatuh. “Aku jauh lebih berat daripada awak!” dia menjerit. “Lepaskan sahaja.”
Jadi Sarah melepaskan cengkamannya—dan dia hanya menghayun dari dinding lalu tergantung dengan selamat di udara.
Peristiwa itu memberi Sarah satu perspektif baru tentang gambaran Tuhan dalam Mazmur 18:2: “TUHAN ialah batu pejalku, kubuku dan penyelamatku; Allahku batu pejalku … benteng pertahananku.” Sarah menyedari, “Tuhan jauh lebih besar daripada semua masalahku. Aku boleh melepaskan kebimbangan dan ketakutanku, dan Dia akan menyambutku.”
Raja Daud menyanyikan kata-kata Mazmur 18 selepas Tuhan menyelamatkannya daripada “pelbagai bencana yang menenggelamkan”—“musuh-musuhnya yang kuat” yang menyerangnya ketika dia “dalam kesusahan” (ayat 16-18). Walaupun masalah Daud tidak lenyap, dia tahu bahawa dia boleh mempercayai Penyelamatnya yang maha kuasa, dan Tuhan mendakapnya dengan erat.