Beratus-ratus orang tetamu telah memenuhi dewan besar yang berwarna emas untuk meraikan ulang tahun ke-50 sebuah organisasi bukan untung, dan memberikan penghargaan kepada para penyokong mereka, terutamanya mereka yang telah bergiat selama berdekad-dekad. Seorang ahli pengasas berkongsi dengan rasa syukur bahawa walaupun ribuan jam sukarela dan jutaan dolar dana telah diberikan, mereka tidak akan berjaya tanpa Tuhan. Dia menegaskan berulang kali bahawa organisasi itu berkembang maju bukan kerana usaha manusia—walaupun usaha manusia juga penting—tetapi kerana Tuhan yang telah menyediakan segalanya bagi mereka.

Daniel memahami betapa pentingnya untuk menghargai pemberian baik yang datang daripada Tuhan. Apabila Raja Nebukadnezar mendapat mimpi tentang masa depan, dia memanggil semua orang bijak di Babel untuk menceritakan dan mentafsirkan mimpinya. Mereka pun bingung dan memprotes bahawa tiada seorang pun di bumi sanggup memenuhi permintaan raja; kuasa luar biasa diperlukan untuk berbuat demikian (Daniel 2:10-11). Daniel setuju, “Rahsia yang ditanyakan Raja tidak dapat diberitahukan kepada Raja oleh orang bijak, ahli mantera, ahli ilmu ghaib, dan jurufaal. Akan tetapi, di syurga ada Allah yang sanggup menyingkapkan rahsia” (ayat 27-28). Dengan penuh iman, Daniel berdoa agar Tuhan mengungkapkan mimpi itu kepadanya. Apabila doa Daniel dijawab, dia dengan rendah diri segera mengakui bahawa tafsiran mimpi itu bukan berasal daripada hikmatnya sendiri, tetapi daripada Tuhan yang agung (ayat 30, 45).

Memang bagus untuk meraikan pencapaian kita, tetapi pada masa yang sama, kita harus memberikan kemuliaan kepada Tuhan. Segala sesuatu yang baik dalam hidup kita akhirnya bersumber daripada-Nya.