Dalam novel klasik Charles Dickens, Oliver Twist, Oliver yang lemah dan sakit dilahirkan di sebuah rumah kebajikan, sebuah institusi yang terkenal dengan reputasi buruknya kerana mengeksploitasi golongan miskin. Menjadi yatim piatu sejak lahir, budak lelaki itu akhirnya melarikan diri disebabkan layanan yang kejam. Melalui beberapa kejadian yang mengejutkan, Oliver akhirnya mengetahui bahawa dia ialah pewaris kepada harta yang banyak. Penulis novel ini, Dickens, gemar dengan pengakhiran novel yanggembira, jadi dia pastikan bahawa setiap watak yang berbuat jahat kepada Oliver selama ini sama ada dihukum atau meminta maaf. Penindasnya menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka, sementara Oliver “mewarisi tanah itu.” Alangkah baiknya jika kehidupan ini mempunyai kesudahan yang begitu bahagia seperti yang tertulis dalam novel Dickens.
Dalam Alkitab, kita membaca lirik lagu yang ditulis oleh seorang lelaki yang juga mengharapkan hari seperti itu—apabila keadilan dilaksanakan dan yang tertindas “mewarisi bumi” (Mazmur 37:9). Walaupun dia sendiri dianiaya oleh orang yang jahat, penyair Daud tetapmenasihatkan orang lain supaya bersabar. Dia menulis, “Sandarkan hatimu kepada TUHAN dan sabarlah menanti tindakan-Nya; jangan gusar kerana ada yang makmur mengikut jalan sendiri, kerana ada yang menjayakan rancangan zalim” (ayat 7). Dia meneruskan, “Orang yang melakukan kejahatan akan dimusnahkan, tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mewarisi bumi” (ayat 9). Walaupun Daud telah melihat bahawa “orang zalim telah menghunus pedang” untuk “menindas orang miskin dan sesak” (ayat 14), dia tetap mempercayai Tuhan akan menegakkan keadilan-Nya (ayat 15).
Kehidupan ini sukar dan sering tidak adil. Namun, kita mendengar kata-kata Yesus bergema daripada Mazmur 37. “Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini” (Matius 5:5).