Apabila tompok merah yang merengsakan muncul berhampiran mata kiri saya, saya menggunakan alat solek untuk menutupinya. Masalah saya disembunyikan buat sementara waktu. Namun setelah seketika, tompok merah itu tidak hilang tetapi semakin bengkak, dan saya tahu saya harus menerima rawatan. Pada pagi untuk berjumpa dengan doktor, saya teringin hendak memakai alat solek seperti biasa, tetapi bukan hari itu. Saya mahu doktor melihat masalah itu dengan jelas dan merawatnya supaya saya dapat sembuh.
Pernahkah anda cuba menyembunyikan dosa anda? Mungkin anda sedar bahawa sesetengah perbuatan atau fikiran sedang mengawal anda, tetapi anda mengelak untuk berdoa tentangnya atau meluahkan kepada rakan dan keluarga. Mungkin anda fikir itu bukan masalah besar kerana banyak orang lain juga bergelut dengan isu yang serupa. Namun, adalah mustahil untuk bertumbuh secara rohani apabila dosa secara diam-diam mencemarkan kehidupan kita. Seperti tertulis dalam Amsal 28:13, “Orang yang menyembunyikan pelanggarannya tidak akan beruntung.” Syukurlah, ayat itu menyambung, “tetapi sesiapa mengakui dan meninggalkannya akan mendapat rahmat” (ayat 13).
Mungkin sukar bagi kita untuk menerima pandangan Tuhan akan perbuatan kita dan mengakui bahawa amalan tertentu itu adalah salah. Namun, kasih-Nya dapat menolong kita untuk lebih merendahkan diri. Apabila kita menghadapi pergelutan kita dengan bersandar pada kuasa Roh Kristus, kita dapat melawan godaan dosa (Galatia 5:16-17, 22-24). Di bawah pimpinan Tuhan, perubahan adalah tidak mustahil, dan kesihatan rohani kita sememangnya berbaloi untuk kita usahakan!