Ramai orang buat azam Tahun Baharu, tetapi ramai yang tidak berjaya. (Biasanya orang sudah melupakan 80% azam baharu mereka apabila masuk pertengahan bulan Februari). Penulis, Amy Wilson, mencadangkan idea yang lebih baik mungkin adalah dengan bulat-bulat menolak “idea bahawa kita perlu membetulkan diri sebelum hidup kita menjadi lebih baik.” Wilson mencadangkan bahawa kita bukannya menambah lebih banyak komitmen, tetapi melihat tahun baharu sebagai peluang untuk mengurangkan sesuatu kerja atau janji yang sangat banyak, dan akhirnya “mula berkata tidak” kepada beberapa “komitmen yang terlalu berat serta berterusan, supaya kita ada masa dan tenaga lebih untuk perkara yang penting.

Di dunia yang sentiasa memberikan tekanan untuk melakukan sesuatu dan menjadi lebih baik, kita mudah terlepas rentak hidup berlainan sekali yang ditawarkan Yesus kepada para murid-Nya—tetap di dalam-Nya. Dalam Yohanes 15, Yesus menyifatkan diri-Nya sebagai “pokok anggur yang benar” (ayat 1), manakala para murid-Nya sebagai “ranting-rantingnya” (ayat 5).

Ranting pokok anggur tidak tumbuh dengan berusaha lebih kuat, tetapi melalui khasiat yang diterima daripada pokok anggur. Begitu juga, pertumbuhan yang kita sangat inginkan hanya dapat kita alami apabila kita berhenti bergantung pada diri sendiri. Kita, sebaliknya hanya perlu berehat dan mendapatkan kekuatan serta makanan rohani daripada Kristus, kerana “tanpa-[Nya], kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa” (ayat 5).

Melalui Yesus, kita mempunyai harapan untuk menjalani hidup yang kurang resah dan kurang sibuk. Beristirahat dalam kasih Tuhan serta membiarkan kasih itu mengalir kepada orang di sekeliling kita (ayat 12, 17).