Blaise Pascal, seorang ahli falsafah, matematik dan teologi, pernah berkata bahawa ada “jurang tidak terbatas” dalam diri manusia yang hanya dapat diisi oleh Tuhan yang tidak terhad. “Ya Tuhan, Engkau telah menciptakan kami bagi-Mu,” Augustine berdoa, “dan hati kami tidak tenang kecuali beristirahat di dalam-Mu.” Seperti yang diungkapkan oleh Daud, seluruh jiwa kita “merindukan” Tuhan, seperti orang yang dahaga di tanah gersang (Mazmur 63:1).
Namun, yang mengejutkannya bukan manusia sahaja yang mengalami kerinduan. Demikian juga dengan Tuhan. Walaupun Tuhan alam semesta yang tidak terbatas tidak memerlukan apa-apa di luar diri-Nya untuk berasa dipuaskan, Alkitab mengatakan bahawa Dia “mengingini” kita kembali kepada-Nya apabila kita menyimpang dari jalan Tuhan (Yakobus 4:4-5), dan berulang kali menyatakan bahawa Dia menginginkan orang menjadi umat-Nya (Keluaran 6:7; Ibrani 8:10).
Selama ribuan tahun, kerinduan inilah yang menggerakkan usaha misi Tuhan: mengutus nabi-nabi untuk membawa kembali umat-Nya yang menyimpang, dan akhirnya mengutus Anak-Nya untuk mencari domba-domba yang hilang (Yesaya 30:18; Lukas 19:10). Berita baiknya ialah akhirnya kerinduan ini akan dipenuhi. “Dia akan tinggal bersama mereka, dan mereka akan menjadi umat-Nya, dan Allah sendiri akan bersama mereka sebagai Allah mereka” (Wahyu 21:2-3).
Kerinduan manusia akan Tuhan, dan kerinduan Tuhan akan manusia, tiada apa-apa dapat menggantikannya. Maka tidak hairanlah ada kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat (Lukas 15:7). Apabila kita kembali kepada Tuhan, segala kerinduan dipenuhi.
