Pada tahun 1692, karya Brother Lawrence yang bertajuk The Practice of the Presence of God (Amalan dalam Hadirat Tuhan) diterbitkan buat pertama kalinya. Dalam buku itu, dia menggambarkan bagaimana dia mengundang Tuhan dalam tugasan hariannya yang membosankan. Kata-katanya masih mencabar kita berdoa untuk mencari Tuhan dalam setiap perkara yang kita lakukan, seperti memotong rumput, membeli barang runcit, atau membawa anjing berjalan-jalan.
Setiap hari, saya akan membawa anjing saya, Winston untuk berjalan-jalan. Matlamat saya ialah untuk bersenam. Apa pula matlamat Winston? Menghidu segala-galanya. Ini agak berlebihan untuk memanggil “berjalan-jalan” sebagai satu aktiviti, kerana kebanyakan masa kami lebih banyak berhenti. Namun kebelakangan ini, saya tidak lagi berasa kecewa kerana Winston lambat bergerak ke hadapan, sebaliknya saya memohon Tuhan untuk menolong saya melihat detik-detik ini sebagai peringatan bahawa hidup ini seperti berjalan dengan seekor anjing: jarang bergerak, tetapi banyak berhenti. Kita mengalami hadirat Tuhan ketika kita setia mentaati-Nya dalam aktiviti harian, termasuk gangguan yang tidak dijangka.
Dalam Amsal 6, Salomo memberikan pelajaran yang sama. Dia menggunakan semut, makhluk yang kecil dan biasa dilihat untuk mengalakkan kita agar bekerja dengan rajin: “Pergilah kepada semut, hai pemalas, perhatikanlah cara hidupnya dan jadilah arif” (ayat 6). Salomo menggunakan semut sebagai contoh gambaran bahawa setiap hari kita patut rajin bekerja (ayat 7-8).
Hubungan kita dengan Tuhan tidak perlu diasingkan kepada waktu “rohani” yang spesifik, seperti di gereja atau waktu saat teduh. Sebaliknya, semasa kita setia mentaati-Nya, Tuhan ingin kita melihat campur tangan-Nya dalam kehidupan kita setiap hari.
